PERINCIAN FATWA
Perkara : PELABURAN DALAM SKIM AMANAH SAHAM NASIONAL (ASN) DAN SKIM AMANAH SAHAM BUMIPUTERA (ASB) SERTA DIVIDEN ATAU BONUS YANG DITERIMA
Keputusan :

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil.4/2017 yang bersidang pada 14-15 Ogos 2017 telah membincangkan "Pelaburan Dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) Serta Dividen atau Bonus Yang Diterima." Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:

1.  Berdasarkan taklimat dan penjelasan yang telah diberikan oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB), mesyuarat mendapati bahawa:

i. Saiz pelaburan PNB sangat besar sehingga industri kewangan dan pasaran modal Islam masih tidak mencukupi untuk      menampungnya. Justeru, PNB terpaksa mewujudkan saringan maqasid syariah, melakukan beberapa inisiatif penambahbaikan dan menstrukturkan pelaburannya bagi mencapai matlamat dan memastikan ia patuh syariah;

ii. Objektif keseluruhan PNB boleh dikaitkan kepada maqasid syariah untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat bumiputera yang majoritinya beragama Islam. Hasil daripada pelaburan-pelaburan saham yang dibuat secara keseluruhan adalah memelihara salah satu daripada lima maslahah utama syarak yang dikenali sebagai daruriyyat yang lima iaitu melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta;

iii. Maslahah yang dibawa oleh PNB kepada umat Islam dan bumiputera adalah untuk menjaga kepentingan negara seperti kestabilan politik dan ekonomi, keperluan kepakaran dalam industri-industri yang kritikal dan menjaga aset-aset strategik negara. Di samping itu, kepentingan hasil daripada pelaburan-pelaburan saham iaitu jumlah pendapatan daripada pelaburan tersebut juga merupakan kepentingan yang perlu dijaga. Ini kerana jumlah pendapatan pelaburan tersebut disalurkan semula kepada umat Islam dan bumiputera sebagai dividen;

iv. Dalam konteks PNB, pelaburan dalam syarikat-syarikat yang terlibat bukan sahaja dapat melindungi salah satu daripada lima asas utama ini, bahkan ia dapat melindungi beberapa elemen yang berkepentingan untuk menyokong lima asas tersebut;

v. PNB telah hampir memaksimakan pelaburan dalam sekuriti pelaburan dan sekuriti pendapatan tetap patuh syariah dengan jumlah pelaburan PNB iaitu RM33 bilion yang hampir menyamai jumlah modal berbayar bank-bank patuh syariah. Manakala dua pertiga iaitu 66 peratus pelaburan ekuiti PNB adalah patuh syariah mengikut Suruhanjaya Sekuriti; 

vi. PNB juga telah melaksanakan perubahan inisiatif-inisiatif penambahbaikan lain seperti akad yang jelas akan digunapakai di dalam pelaburan, ke arah penyelesaian isu sekuriti pendapatan tetap (fixed income securities) dan pasaran wang, meningkatkan perniagaan patuh syariah (shariah compliant) di dalam Syarikat Kumpulan Maybank dan menasihati para pelabur yang beragama Islam untuk membayar zakat sekiranya cukup haul dan nisab.

2.   Prinsip sesuatu hukum itu berubah mengikut illahnya. Menurut Dr. Muhammad Sidqy al-Burnu di dalam "Mausu'ah al Qawa'id al Fiqhiyyah" (3/195):

 " الحكم يدور مع علته وجودا وعدما : إذا وجدت العلة أو السبب ثبت الحكم بها، فإذا زالت العلة أو السبب، زال الحكم بزوالها ، وانتهى بانتهائها؛ لأن الحكم يدور مع علته وسببه وجوداً وعدماً".

"Hukum berubah mengikut perubahan illah (sebab) : Apabila wujud illah atau sebab sabitlah hukum baginya sebaliknya hukum akan berubah apabila tiada illah atau sebab, terhenti dengan terhentinya illah atau sebab, kerana hukum itu mengikut kewujudan serta ketiadaan illahnya...”

3.     Sehubungan dengan itu, setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

4.     Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 16 Jun 1999 dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 30 Disember 2009 mengenai Hukum Umat Islam Melabur Dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah dibatalkan.

Ulasan Keputusan :
Kategori   Muamalat & Ekonomi
Daerah   DTL
Tarikh Keputusan : Aug-2017
No Warta :
Tarikh Warta :

Tutup